Maulidur Rasul

Salam MAULIDUR RASUL...

Petikan Khutbah Sempena Maulidur Rasul..

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri terutama golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Kita mahu lahirkan umat Islam yang sentiasa bangga dan berebut-rebut untuk mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti cara makan minum, masuk keluar tandas sehinggalah kepada perkara yang besar seperti ekonomi dan cara pemerintahan. Kita mestilah meniru tindakan para sahabat nabi dalam membuktikan kecintaan kepada junjungan nabi yang mulia seperti ada sahabat yang pada asalnya tidak suka makan buah labu tetapi apabila dia tahu bahawa nabi begitu menyukai buah labu maka dia pun turut sama menyukai dan memakan buah labu. Buktikan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w seperti makan apa yang dimakan oleh nabi, pakai apa yang dipakai oleh nabi, bercakap dengan apa yang dicakap oleh nabi. Bila rasa cinta dan kasih yang begitu tinggi kepada nabi telah subur dalam diri maka segala halangan akan kita tempuh. Sebaliknya bila rasa cinta pada nabi tidak subur dalam diri menyebabkan tiada ada usaha dan semangat dalam mencontohi cara hidup nabi dalam kehidupan seharian.
قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kita wajib menjadi umat yang bersyukur atas kelahiran dan pengutusan nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda mengenalkan kita kepada Allah, mengeluarkan manusia dari lembah kejahilan dan kesesatan kepada keadilan Islam dan cahaya iman, membezakan antara hak dan batil, mengajar halal haram, dosa pahala, Syurga Neraka. Nabi tidak pernah rasa jemu dan putus asa walau dicaci, dihina malah diseksa dan berdepan dengan pelbagai usaha musuh dalam membunuhnya ketika menyebar dan mempertahankan Islam. Segala usaha murni yang dilakukan oleh nabi bukan untuk kepentingan peribadi dan keluarga sebaliknya untuk membawa kita umatnya kepada keredhaan Allah dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tanda cinta yang dapat dilihat pada diri umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w ialah sentiasa merindui nabi sebagaimana rindunya kaum Ansor ketika menunggu-nunggu ketibaan nabi dalam peristiwa hijrah. Seperti cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dajanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi nabi daripada terkena pedang dan anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Umat cinta pada nabi juga sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan nabi dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada nabi akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasulNya serta sentiasa menjauhi larangan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Umat yang cinta kepada nabi Muhammad s.a.w juga sentiasa berusaha dalam menjejaki dan mengikuti sunah nabi. Sekiranya terdetik perasaan benci kepada sunah nabi menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kalangan yang diakui sebgai umat nabi. Mengapa ada umat Islam sendiri yang tidak suka kepada nabi dengan mempertikai sunah dan sistem Islam yang dibawa oleh nabi. Kita wajib fahama bagaimana tingginya rasa kasih nabi kepada umatnya sehingga pernah baginda bersabda dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :
قال الرسول: لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ وَإِنِّي اخْتَبَأْت دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya : Bagi setiap nabi terdapat doa yang terus dimaqbulkan di dunia. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari qiamat nanti
Dalam kitab Fathu al-Bari dijelaskan maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya yang menderhaka dibinasakan segera melainkan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mendoakan demikian. Ini kerana nabi akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan dunia. Begitu juga imam Nawawi menerangkan hadis ini membuktikan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda kepada umatnya dengan menjadikan kebaikan umatnya yang terpenting sehingga baginda menangguhkan doa balasan azab segera terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat di akhirat nanti. Oleh itu buktikan kecintaan kita kepada nabi termasuk melalui ucapan selawat sepanjang masa dan tempat sebagaimana yang dianjurkan antaranya
عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم)
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali
وَقَالَ الرسول: إِنَّ للهِ مَلاَئِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلاَمَ – رواه النسائي وابن حبان
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.
Bagi selawat ada 3 pengertian yang berbeza iaitu Pertama selawat daripada Allah bererti rahmat, keredaan, kemuliaan, kepujian serta ketinggian kepadanya. Kedua selawat daripada Malaikat bermakna istighfar memohon keampunan Allah buat baginda. Manakala yang ketiga selawat daripada manusia bermaksud berdoa agar kita mendapat rahmat yang penuh mahabbah dan kasih sayang Allah.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Setiap kali menyambut Maulidurrasul s.a.w maka ada-ada sahaja perkara yang cuba dimomokkan sama ada oleh musuh atau umat Islam sendiri terutama dalam perkara berkaitan dengan diri dan ajaran nabi Muhammad s.a.w. Antara yang tebaru tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah nabi sedangkan risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Kegagalan dalam mengambil seluruh ajaran nabi menyebabkan ketokohan nabi dilihat agak terbatas dan ia merupakan antara usaha musuh Islam dalam meletakkan nabi sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang keistimewaan berbanding tokoh dunia yang lain. Begitu juga gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah sebagaimana ajaran nabi dipisahkan dan diguna apa yang setuju oleh nafsu dan dibuang bila ia bercanggah dengan nafsu seperti solat, puasa boleh diterima tetapi ekonomi, perundangan dan politik Islam ditolak. Kita juga bimbang dengan isu pembuangan babi di masjid yang kembali hangat dalam sehari dua ini yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan antara agama dan kaum yang dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi. Oleh itu tirulah cara pemerintahan nabi yang berjaya melahirkan umat Islam yang taat pada kerajaan dan umat bukan Islam yang berasa dijamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di bawah sistem Islam. Nabi diikuti negara diberkati, cara hidup nabi dilaksana umat bahagia
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hayati pengertiannya....

~Dijamin servis terbaik~ Terima Kasih diatas kerjasama anda..